“Sebelum Ini, Duit Lakonan Habis Begitu Saja” Aedy Ashraf

Pelakon popular Aedy Ashraf atau nama sebenarnya, Mohammed Addy Ashraf Rosmadi, 26, mengakui sebelum ini dia tidak begitu cekap dalam menguruskan kewangan.

Semenjak terlibat dalam perniagaan snek kentang goreng, Fam Fries Kitchen, segala-galanya berubah.

“Sebelum ini, saya tak begitu cekap dalam menguruskan kewangan. Duit lakonan juga habis begitu sahaja tanpa saya dapat lihat hasilnya.

“Namun begitu, semenjak saya terlibat dalam bisnes, saya banyak belajar. Memang saya tidak mempunyai sebarang asas dalam bidang perniagaan tetapi saya turun padang, bermula dari kosong dan mempelajari selok belok satu demi satu.

“Kini, saya lebih cekap menguruskan kewangan dan belajar cara untuk menyimpan wang dengan lebih efektif menerusi dua cawangan Fam Fries di The Podium, Penchala dan FoodMonger, Tamarind Square Cyberjaya,” katanya.

Aedy ditemui di majlis ‘soft-launch’ FoodMonger di Tamarind Square, Cyberjaya baru-baru ini.

FoodMonger merupakan sebuah medan selera moden yang mempunyai seleksi makanan dengan kualiti premium dengan harga berpatutan.

Selain Aedy, majlis tersebut turut dihadiri oleh pemilik FoodMonger, Mohd Naufal Abd Latiff.

Dalam pada itu, Aedy juga belajar untuk berkongsi dan membahagikan masa dalam bidang lakonan serta perniagaan.

“Saya banyak belajar untuk berkongsi rezeki dan duit yang saya dapat menerusi gaji pekerja dan saya juga menyimpan wang untuk masa hadapan.

“Jika ada masa lapang, saya memang turun padang dan memantau keadaan. Saya banyak belajar membahagikan masa. Tetapi, apa yang paling penting, saya kena mendapat rehat dan tidur selama enam jam. Tidur yang baik akan membuatkan kita lebih produktif,” katanya lagi.

Sumber:Gempak