“Saya Tahu Betapa Pentingnya Farid Dalam Hidup Saya”Diana Danielle

Pelakon jelita Datin Diana Danielle menyifatkan setiap perkara yang berlaku dalam kehidupannya berumah tangga dengan Datuk Farid Kamil menguatkan hubungan cinta mereka.

Jelas Diana, mereka kini menjalani kehidupan yang lebih matang dan menghargai satu sama lain.

“Sebagai seorang isteri saya kenal suami saya. Dia suami dan ayah yang terbaik untuk kami dan saya gembira kami masih dapat menikmati saat-saat gembira bersama.

“Perhubungan kami semakin matang, kami lebih menghargai satu sama lain dan saya tahu betapa pentingnya Farid dalam hidup saya.

“Saya terima apa sahaja yang kehidupan lemparkan pada kami sebab kehidupan akan terus berjalan tanpa henti dan akan memberikan pelbagai perkara mendatang untuk kita hadapi. Kalau kita tenang dan percaya Allah, Dia akan bantu kita balik,” kata Diana kepada Gempak.

Diana ditemui pada majlis pelancaran produk kosmetik Aliff Syukri Legacy Cosmetics di Menara Mustapha Kamal, Damansara semalam percaya setiap cabaran yang dilalui ada hikmahnya.

Malah, pelakon filem Hanyut itu bersyukur dikelilingi individu yang sentiasa menyokongnya terutama keluarga dan peminat.

“Daripada dahulu saya bersyukur dengan jenis-jenis peminat yang ada untuk kami, apa yang saya terima juga sebahagian daripada kasih sayang peminat terhadap Farid.

“Jadi, mereka baik dengan saya pun sebab mereka menghormati, menyayangi dan menyokong Farid sebenarnya.

“Kalau ikutkan kecaman, ada hari-hari saya akan terkesan tetapi saya masih mempunyai sistem sokongan yang kuat misalnya ibu saya,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Diana dan Farid bakal menerbitkan filem Rempit 2 yang akan menjalani penggambaran tidak lama lagi.

“Sudah sampai masanya untuk kami cuba memulakan sesuatu yang baru. Dia lebih baik sekarang dan tahu macam mana nak bercakap dengan perempuan (misalnya).

“Kalau tak Farid suatu ketika dahulu kedengaran agak kasar jika dia memberikan arahan. Apapun, kami cuba melakukan yang terbaik,” ujar Diana lagi.

Sumber:Gempak