“Ini Bukan Lagu Seram Biasa…” – Siti Nordiana Nyanyi Lagu Tema Filem Pusaka

Penyanyi terkenal, Siti Nordiana Alias berbangga kerana mendapat peluang untuk menyanyikan lagu tema untuk filem Pusaka yang berjudul Kejam.

Menurut penyanyi yang mesra disapa sebagai Nana ini, dia gembira kerana dapat bekerjasama dengan komposer terkenal, Datuk Wah Idris.

“Lagu ini dicipta oleh Datuk Wah Idris dan liriknya pula hasil nukilan Joe Zainol dan Datuk Wah sendiri.

“Saya berbangga kerana dapat peluang menyanyikan lagu tema filem Pusaka dan rasa senang kerana dapat berkolaborasi bersama komposer tersohor seperti Datuk Wah,” kata Nana.

Tambah Nana, lagu Kejam berbeza dengan lagu tema yang sering digunakan dalam filem seram lain.

“Ia berbeza kerana liriknya menunjukkan sisi ‘dark side’ dan tidak seperti lagu dalam filem seram lain.

“Saya menyanyi dengan perasaan untuk membalas dendam. Jadi, saya buat kajian sedikit mengenai jalan ceritanya, mengapa lagunya begitu dan perasaan yang digambarkan oleh pelakon filem terbabit,” katanya lagi.

Filem Pusaka merupakan karya terbaru terbitan Astro Shaw dengan kerjasama Director’s Think Thank dan dipersembahkan oleh produksi Alpha 47.

Mendapat sentuhan pengarah berbakat, Razaisyam Rashid, filem ini membariskan bintang-bintang hebat.

Filem ini menampilkan pelakon hebat seperti seperti Syafiq Kyle, Mimi Lana, Fauziah Datuk Ahmad Daud, Faizal Hussein, Sweet Qismina, Hafidz Roshdi, Aleza Shadan, Yuna Rahim dan ramai lagi.

Jangan lupa saksikan filem Pusaka di pawagam bermula 31 Oktober ini!