Geland4ngan Nak Makan, MandI Dan Rehat Sila SInggah Ke Dapur Kautsar

BERPENGALAMAN selama empat tahun mencurah bakti dan memberi makanan kepada gelandangan telah membuka pintu hati dua wanita untuk membuka pusat gelandangan bagi membantu golongan yang tidak berkemampuan itu.

Pusat gelandangan yang diberi nama Dapur Kausar itu yang terletak di Senawang, Negeri Sembilan mula beroperasi sejak 6 Januari lalu.

Membuka bicara, Fauziah Raduan yang merupakan penyelia di Rumah Anak Yatim Kausar Taman Marida di Senawang memberitahu, dia bersama Azlinna Ali terpanggil untuk mengendalikan pusat sedemikian kerana ingin melihat kumpulan sasar termasuk golongan asnaf, orang kurang upaya dan anak yatim lebih selesa dan kemas.

Tambah Fauziah atau lebih mesra disapa Jijie berkata, kelainan pusat gelandangan yang ditubuhkan itu adalah ia tidak menyediakan tempat tidur, sebaliknya menyediakan makanan secara percuma, selain bilik mandi serta baju bersih untuk golongan yang memerlukan itu.

Penubuhan Dapur Kausar bertujuan untuk memberikan golongan yang tidak berkemampuan makan dan menjaga kebersihan diri.

“Sebelum ni saya dah empat tahun beri gelandangan makan. Saya akan pergi ke tempat mereka pada tengah malam. Contohnya, malam Jumaat saya akan ke tempat mereka tidur dan hulurkan bantuan di sekitar Seremban.

“Kebiasaannya kita akan packing makanan sebelum diagihkan kepada mereka. Bila dah empat tahun sering melakukan perkara sama, saya dan rakan saya pun bercadang untuk buka pusat gelandangan khas kepada mereka yang memerlukan khususnya untuk kekemasan diri.

“Jadi pusat ini sediakan makanan, bilik mandi dan baju, tapi bukan untuk tidur. Sekurang-kurangnya mereka tidak lapar dan kebersihan mereka terjaga,” katanya yang berusia 33 tahun kepada mStar.

Meskipun tidak mengaut apa-apa keuntungan, Jijie dan Azzlina tidak menganggap ia sebagai satu beban kerana mereka berasa gembira melihat golongan yang tidak berkemampuan ini menjadi insan lebih baik.

Jijie sedia menawarkan bantuan kepada golongan yang tidak berkemampuan dari segi makan dan kekemasan diri.

Tambah ibu kepada enam anak ini, usaha dia mendekati golongan itu selama ini kerana sedih dengan nasib yang menimpa mereka hingga terpaksa merayau di jalanan kerana dipulaukan keluarga.

Katanya, dua minggu sebelum pusat gelandangan itu dibuka, berita mengenainya telah diwawarkan supaya mereka datang pada bila-bila masa kecuali Ahad antara pukul 8.30 pagi hingga 10 malam.

“Saat penuh emosi apabila mendengar kisah-kisah mereka, nasib mereka dibuang anak, dipulau keluarga… memang sedih. Secara fizikal mereka nampak sihat, tapi kita tak tau apa yang mereka rasa,” ujarnya.

Dapur Kausar yang beroperasi di sebuah rumah teres dua tingkat itu menggunakan sepenuhnya dana dua rakan karib itu.

Dengar kisah-kisah mereka, nasib mereka dibuang anak, dipulau keluarga, sedih. Memanglah fizikal mereka nampak sihat, tapi kita tak tau apa yang mereka rasa.

FAUZIAH RADUAN

Kongsi Jijie lagi, setakat ini Dapur Kausar diuruskan oleh dirinya dan rakan-rakan yang secara sukarela membantu, malah mereka mengalu-alukan golongan muda yang berminat untuk menjadi sukarelawan di pusat berkenaan.

“Pusat gelandangan di rumah dua tingkat itu mempunyai fungsi tertentu di mana di tingkat pertama kita khaskan untuk golongan itu makan, berehat dan membersihkan diri, manakala di tingkat kedua pula, kami letakkan baju-baju yang disedekahkan,” katanya yang mengalu-alukan sebarang sumbangan atau derma daripada mana-mana pihak.

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Jangan Lupa Juga Untuk Follow Kami di @KLPRESS

Sumber: mStar

PERHATIAN: Pihak KL PRESS tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak KL PRESS juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.