“Nak Kekal Muda Ikutah Gaya Norman” Norman Hakim

Sebelum menceburi bidang peragaan dan lakonan, dahulunya saya memang aktif dengan sukan bola sepak dan terlibat sebagai atlit junior Malaysia dalam olahraga 400 meter lari berpagar. Maka, penjagaan kesihatan fizikal dan pemakanan sudah sebati dengan diri saya.

Hinggakan saya memilih untuk membuka pusat gimnasium sendiri kerana inilah minat dan cinta saya. Bagi saya pendekatannya cukup mudah, jika anda menjadikannya sebagai sebahagian daripada gaya hidup dan berupaya melakukannya secara konsisten pasti tidak memberi tekanan atau bebanan.

Bahagian mana yang perlu diberi fokus untuk sesuatu pergerakan atau senaman dan sebagainya. Selebihnya saya melihat pendekatan ini sebagai satu pendedahan yang membantu saya untuk menyumbang sesuatu kepada masyarakat. Menerusi bidang ini, saya mendapat kepercayaan ramai pihak yang mahukan saya berkongsi ilmu bersama mereka.

Bagaimana Norman melihat dengan perkongsian ilmu seperti ini memberi kebaikan kepada diri sendiri dan masyarakat?. Selain daripada pendekatan perniagaan yang mendatangkan keuntungan misalnya menerusi pusat gimnasium milik saya, sesi perkongsian ilmu ini banyak memberi kepuasan kepada diri saya sendiri. Saya bertuah kerana dapat berkongsi sedikit ilmu yang saya ada berdasarkan pengalaman saya sendiri.

Sejauh mana Norman melihat rutin ke gimnasium memberi keyakinan dan kepuasan?. Bagi saya cukup mudah, apabila kita menjadikannya sebagai suatu perkara sebahagian daripada gaya hidup yang bukan sahaja merangkumi senaman malah pemakanan sekali gus kita sebenarnya sudah mempraktikkan amalan gaya hidup sihat. Soal pemakanan dan senaman sememangnya tidak dapat dipisahkan kerana ia mempunyai kaitan.

Tidak bermakna jika anda bersenam tetapi tidak menjaga pemakanan dan begitu juga sebaliknya. Apabila kita bersenam dan menjaga pemakanan, secara tidak langsung tubuh akan menjadi lebih proaktif dan dalam masa sama diri kita juga akan lebih produktif menyempurnakan setiap tugasan. Itulah kepuasan yang saya rasakan sejak mula bersenam hingga sekarang.

Bagi rutin senaman harian pula, setiap hari selepas menghantar anak-anak ke sekolah, saya akan luangkan masa sekitar satu jam atau satu jam setengah untuk bersenam. Saya akan lakukan senaman kardio dan menyasarkan untuk membakar 500 kalori setiap hari. Secara purata setiap hari, saya akan mengambil kira-kira 2000 hingga 2500 kalori dalam pemakanan. Senaman kardio yang saya lakukan merangkumi treadmill, spinning dan stepper. Selebihnya saya akan memerlukan tenaga untuk melakukan tugasan-tugasan lain bergantung kepada apa yang telah dirancang.

Jika saya terikat dengan sesi fotografi atau penampilan di televisyen misalnya, saya memerlukan tempoh sekurang-kurangnya dua minggu untuk memastikan penampilan fizikal berada pada tahap terbaik. Saya akan lakukan senaman kardio pada waktu pagi dan weight work out pada waktu malam untuk memastikan lemak pada tubuh dikurangkan pada kadar 10 hingga 12 peratus. Barulah timbul urat-urat, otot lebih pejal dan kelihatan tubuh lebih maskulin! Hahaha.

Untuk merealisasikannya memerlukan pemikiran yang positif dari awal. Contoh mudah, jika anda mahukan six pack jangan sekali-kali mudah mengalah dan berputus asa. Teruskan bersenam dan jika anda serius untuk melakukannya, jadikan ia sebagai salah satu daripada gaya hidup yang pada akhirnya anda akan menikmatinya. Biarpun lambat tetapi hasilnya di kemudian hari akan menggembirakan anda. Tak percaya, cubalah!

Adakah pengambilan makanan tambahan (supplemen) membantu untuk mendapatkan susuk tubuh seperti kini?. Pada permulaannya saya tidak menafikan ia amat membantu dan kepada mereka yang baru berjinak untuk membina otot disarankan untuk mengambil supplement. Tetapi selepas anda melihat perubahan dan memahami keperluan tubuh, elakkan daripada mengambil supplement berlebihan kerana bimbang ia akan mempengaruhi tahap kesihatan.

Seperti sekarang, saya lebih fokus kepada pengambilan multivitamin fat burner, Ephyra M2Flex selain whey powder (protein dalam bentuk serbuk). Dan kuantitinya saya kawal kerana jika diambil berlebihan akan membuatkan tubuh saya kelihatan lebih besar.

Perkara paling ekstrim yang pernah di lakukan semata-mata untuk mendapatkan bentuk badan yang diidamkan?. Sekitar 2010, saya bersama empat rakan, terdiri daripada Sam Adnan, Aidid Marcello, Steve Rahman Hughes dan Chef Riz pernah mencabar sesama kami. Cabarannya adalah sesiapa yang berjaya mengurangkan lemak pada badan kurang daripada 10, dia akan menang.

Maka bermulalah cabaran antara kami selama beberapa hari. Dan bagi memastikan saya tidak tercicir daripada memenangi cabaran ini, saya hanya makan epal sahaja setiap hari. Bermula dengan sarapan, makan tengah hari, minum petang hingga makan malam hanya epal hijau sahaja yang saya makan. Hinggakan pernah rasa muak melihat makanan segera seperti Mc Donald, Kentucky Fried Chicken dan sebagainya.


Saya bersama Sam Adnan berjaya mengurangkan lemak pada tubuh sebanyak tujuh peratus dan habuannya mereka yang lain terpaksa open table buat kami. Dan saya melantak makan bersungguh-sungguh hingga 11 pinggan! (ketawa).

Bahagian tubuh yang paling anda gemari?. Hahaha… mungkin bahagian dada, bahu dan gluts. Komen isteri dan anak-anak apabila melihat kelibat anda yang tidak jemu bersenam dan mengekalkan bentuk badan sedia ada?. Syukur kerana saya dikurniakan isteri yang amat memahami kesungguhan dan minat saya dalam bidang ini. Malah dia juga menyokong saya selain berkorban menyediakan makanan sesuai dengan keperluan diet harian saya. Begitu juga dengan anak-anak.

Merekalah yang menjadi ‘mangsa’ apabila saya bersenam di rumah. Jika tidak angkat berat, cukup dengan mengangkat mereka bergilir-gilir atau mereka duduk di belakang saya dan dalam masa sama saya bersenam seperti bumping, squat atau pull up. Anak sulung saya, Danish Hakim pernah membuat perjanjian dengan saya. Katanya, “Papa kena janji dengan abang papa akan train abang jadi tahfiz yang sado. Dan Abang akan train Papa untuk jadi tahfiz,”.

Dia beria dan bersemangat mahu memiliki susuk tubuh seperti saya tetapi memandangkan dia masih kecil, saya hanya ajarkan senaman yang ringan kerana bimbang ia akan mengganggu proses tumbesarannya. Biarlah hingga dia berumur 18 tahun, barulah boleh jadi seperti papanya yang muscular ini (ketawa).

Sejauh mana Norman obses dengan aktiviti kecergasan atau senaman?. 100 peratus, malah jika anda angka yang lebih lagi begitulah banyaknya peratusan obses saya terhadap bidang ini. Saya pernah mengimpikan untuk membina sebuah pusat gimnasium di dalam kontena yang boleh bergerak ke mana sahaja.

Banyak berbelanja untuk keperluan bersenam?. Apa jua yang berkaitan dengan sukan, itulah minat saya. Saya tidak menetapkan jumlah wang tertentu untuk berbelanja membeli kasut atau baju. Tetapi apabila keluar, sekali beli pernah mencecah 20 helai!

Saranan kepada InTrenders, mengapa perlu mula fokus dalam soal penjagaan badan dan kesihatan tahun ini?. Jangan jadikan ia sebagai satu bebanan atau tekanan sebaliknya fikirkannya sebagai satu gaya hidup. Penampilan diri yang menarik misalnya aspek kesihatan sebenarnya melambangkan penjenamaaan diri anda. Tidak kira dalam apa jua bidang yang anda ceburi, lihat ketrampilan diri sebagai modal insan untuk meyakinkan diri sendiri dan orang lain.

Misalnya apabila orang lain melihat anda lebih presentable, mempunyai tubuh yang fit sekali gus dapat memberikan mesej bahawa anda mengamalkan gaya hidup yang sihat dan berdisiplin. Jangan mudah berputus asa, fokus, teruskan konsistensi untuk bersenam dan anda akan nikmati hasilnya.

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Jangan Lupa Juga Untuk Follow Kami di @KLPRESS

Sumber: mStar

PERHATIAN: Pihak KL PRESS tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak KL PRESS juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.